Rabu, 26 Ogos 2009

Sejarah Tambisan Pulau dan Tambisan Darat

Saya sendiri selalu datang melawat Tambisan Darat dan Tambisan Pulau. Menaiki perahu untuk ke Tambisan Pulau.




Lawatan En. Gari dari kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah

Lawatan Datuk Nasir Bin Tun Sakaran ke Daerah Tambisan. Bergambar di hadapan Pejabat Daerah Kecil Tambisan.




Lawatan En. Gari ke Tambisan dan rombongan dari Pejabat Daerah Kecil Tungku, Mengiringi beliau ialah Penolong Pegawai Daerah Tungku, En. Ibrahim Abd Hakim.

Pada bulan Zulhijjah 1818 di zaman pemerintahan British, bapa saya bernama Sarabi Bin Sakbani berpindah daripada kg. Libaran ke Pulau Tambisan seramai 12 orang. Apabila mereka sampai di Tambisan Pulau, mereka terus membahagi-bahagi tanah di Tambisan Pulau dan sekali gus membersihkan tanah yang mereka perolehi masing-masing. Selepas membersihkan tanah masing-masing, mereka balik semula ke Libaran untuk mengambil benih kelapa pisang dan ubi kayu. Apabila mereka datang semula ke Tambisan, mereka bercucuk tanam di tanah yang mereka bahagi-bahagikan. Tanaman mereka subur dan menghasilkan makanan harian mereka. Dalam tempoh beberapa tahun kemudian, kebanyakan mereka yang berpindah ke Tambisan Pulau telah mengalami sakit yang berpanjangan. Oleh yang demikian, mereka mengambil keputusan untuk kembali ke Libaran serta meningalkan tanaman yang mereka tanam.
Selang beberapa tahun, bapa tiri kepada Imam Mansor yang bernama Mandaring dan bersama birasnya yang bernama Imam Laja pergi ( 12 orang yang berpindah ke Tambisan pada tahun 1818) ke kepulauan Suluk, Filipina untuk membeli Beras, Sebelum mereka berdua ini ke Filipina, mereka singgah di Tambisan untuk melihat tanaman mereka yang pernah mereka tanam sebelum ini. Setelah berfikir panjang, maka mereka mengubah fikiran untuk kembali ke Tambisan. Selang beberapa bulan mereka semua mengambil keputusan untuk berpindah ke Tambisan dan melantik seorang ketua kampung Tambisan yang pertama bernama Panglima Tumikbi semasa pemerintahan kerajaan British. Apabila mereka sampai di Tambisan, mereka mengambil semula tanah yang telah mereka bahagi-bahagikan dahulu. Ketua kampung Panglima Tumikbi ke Lahad Datu untuk memohon tanah yang telah mereka bahagi-bahagikan di Distrik Office. Rasdin Muji berbangsa British yang bertugas pada masa itu, telah meluluskan permohonan tanah mereka. Selepas Panglima Tumikbi meninggal dunia, Allahyarham telah digantikan oleh Said bin Tahir menjadi Ketua Kampung Tambisan. Pada tahun 1946, Jepun datang ke Tambisan selepas itu, Jepun menyerah kalah dan diganti pula oleh Kerajaan Australia. Selepas kerajaan Australia mengambil pentadbiran Tambisan, pihak British mengambil alih pentadbiran.Ketiadaan Polis pada masa itu menyebabkan pihak Kerajaan British melantik seorang penduduk tempatan iaitu Alawanga bin Mantas sebagai kerani dan Polis di Tambisan. Bangunan Balai Polis pada masa itu ialah bertiangkan kayu, beratap dan berdindingkan nipah. Lantainya nibung dan selepas beberapa tahun kemudian bangunan Balai Polis tersebut digantikan dengan lantai dan dinding papan atapnya dibuat daripada kayu Belian.
Kerani pertama yang dilantik di Pejabat Daerah Kecil Tambisan pada masa itu ialah kerani Jata anaknya yang benama Damim yang berasal dari Daerah Lahad Datu yang berpendidikan Darjah II dan atas usaha beliau membina sebuah sekolah di Tambisan dan mengajar seramai 22 orang pelajar dengan menulis di papan batu. Selepas kerani Jata ditukar beliau telah digantikan oleh Tun Sakaran Dandai ( Mantan TYT Sabah ). Selepas perkhidmatan Tun Sakaran Dandai, Tun telah digantikan oleh Sahari bin Tulis. Apabila Sahari bin Tulis ditukarkan ke Kinabatangan, beliau digantikan pula oleh kerani yang berasal dari Tatabuan yang bernama Agta. En. Agta telah bertukar kerja ke Marin Department sebagai Kapten. Beliau telah digantikan oleh En. Mohd Jamari dari daerah Lahad Datu. Apabila beliau meninggal dunia beliau digantikan oleh Mudreka bin Agil. Selepas tahun 90-an pejabat daerah kecil di tambisan dan kerani tidak diwujudkan lagi, tetapi bangunannya masih wujud sehingga hari ini.

Berbalik kepada perlantikan ketua kampung di Tambisan, selepas 4 tahun Panglima Ali menjadi ketua kampung, beliau telah digantikan oleh Ogi bin Amir Hassan, tetapi gelaran Panglima telah dimansuhkan dan digantikan dengan gelaran OT. Selang beberapa tahun OT Ogi bin Amir Hassan telah jatuh sakit dan mengalami lumpuh separuh badan ( Strok ). Oleh kerana kesihatan OT Ogi tidak mengizikan beliau menjalankan tugas, beliau telah digantikan oleh Mahiruddin Bin Haji Hussin iaitu bapa kepada Datuk Johar di masa pemerintahan kerajaan USNO. Semasa pilihanraya pada tahun 1976, USNO telah kalah kepada Parti Berjaya, oleh yang demikian, pertukaran kepimpinan dirombak, apabila Hj. Mahiruddin telah digantikan oleh Pendekar Nusur bin Mohd Sulani menjadi ketua kampung. Tidak lama selepas itu, Pendekar Nusur telah dinaikkan pangkat ke Ketua Anak Negeri. Tempat beliau telah digantikan oleh Hj. Ismail bin Mohd Gani. Hj. Ismail bin Mohd Gani pun telah dinaikkan pangkat ke Wakil Ketua Anak Negeri. Selepas itu, Imam Mansor bin Sarabi pula telah dilantik menjadi ketua kampung yang baru. Beliau memegang jawatan ketua kampung di Tambisan Pulau selama 15 tahun. Selepas Imam Mansor bin Sarabi ditamatkan perkhidmatan, beliau telah digantikan pula oleh Hj. Undin bin Oting. Selepas Hj. Undin meninggal dunia beliau telah digantikan pula oleh menantunya yang bernama Abd Wahab bin Ismani sehinggalah ke hari ini.

Semasa pemerintahan British, Tambisan Pulau adalah dibawah pentadbiran Daerah Lahad Datu. Ketua Anak Negeri Tungku yang pertama adalah Panglima Nalaja @ Buaya Bin Noh. Setelah pentadbirannya diambil alih oleh Sandakan, ketua anak negerinya pula telah digantikan oleh Arjani bin Abantas. Selang beberapa tahun, pentadbiran Tambisan Pulau telah diambil alih oleh Kinabatangan, setelah KAN Arjani meninggal dunia, Allahyarham pula digantikan oleh KK Nusur. Apabila KAN Nusur meninggal dunia, penggantinya ialah En. Moktar Bin Zakaria ada bertugas sekarang ini.

Perkembangan agama Islam di Tambisan bermula apabila seorang ulama dari Yaman telah berhijrah ke Sabah iaitu di daerah Sandakan. Beberapa tahun duduk di Sandakan, tuan guru mendengar khabar bahawa di Tambisan mempunyai tanah yang luas dan subur untuk bercucuk tanam. Oleh yang demikian, tuan guru telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Tambisan. Sepanjang tuan guru berada di Tambisan beliau telah membantu dan memperkembangkan ajaran Islam dan seterusnya mengajar orang-orang di kampung Tambisan mengaji Al- Quran, mengajar sembahyang, Fardu Ain dan Fardu Kifayah dan berbagai-bagai lagi tuan guru ajarkan kepada penduduk kampung Tambisan.

Tambisan Pulau mempunyai sebuah balai Polis dan Sekolah Kebangsaan . Dalam tahun 2009 beberapa pemimpin telah datang ke Tambisan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penolong setiausaha KPLB Sabah, Datuk Nasir Bin Tun Sakaran, menteri di Jabatan Ketua Menteri dan pelbagai lapisan pemimpin yang hadir bagi melihat sendiri suasana di Tambisan. Dan ini sudah tentunya akan membawa kepada pembangunan yang terancang dan seterusnya memberi manfaat kepada penduduk kampung Tambisan keseluruhannya.

Tambisan Darat

Tambisan Darat telah dibuka oleh orang-orang tua yang terdiri dari penjaja, panglima-panglima yang membawa beberapa orang untuk membersihkan hutan dan dijadikan kebun. Pembukaan tanah di Tambisan Darat ini telah diketuai oleh Panglima Arak. Semasa pemerintahan Jepun, Panglima Arak telah berjuang mempertahanan tanah Tambisan Darat. Setelah Panglima Arak meninggal dunia, beliau telah digantikan oleh Panglima Gampal. Selepas pemerintahan Jepun, British telah mengambil alih pemerintahan dan melantik ketua kampung iaitu OT Lajja bin Malik. Apabila OT Lajja bin Malik meninggal dunia, Imam Mansor bin Sarabi menggantikan beliau sebagai ketua kampung selama 3 tahun sebelum Imam Mansor ditukarkan ke Tambisan Pulau. Menggantikan Imam Mansor di Tambisan Darat ialah Ahmad bin Abdul Hari semasa pemerintahan kerajaan PBS. Pada pilihanraya Negeri tahun 1994, tampuk pemerintahan berubah setelah kerajaan Barisan Nasional menang dalam pilihanraya tersebut. Kepimpinan bertukar dan ketua kampung Tambisan Darat telah digantikan oleh En. Abdul Majid Bin Tanbi dan menjadi ketua kampung sehinggalah hari ini.

" Sejarah Tambisan ini saya perolehi dari Profil Kampung Tambisan, semua cerita dan keterangan di atas adalah karangan Imam Mansor bin Sarabi. Segala kesulitan mengenai jalan ceritanya harap dimaafkan, kerana semua data yang saya perolehi adalah mengikut kehendak Imam Sarabi "


Pemilik blog....

5 ulasan:

  1. Assalamualaikum tuan,Tahniah kerana menulis sejarah Pulau Tambisan. Keluarga saya menetap di Pulau libaran dan difahamkan memang ada sukusakat di Pulau Tambisan yang berasal dari Pulau Libaran.

    BalasPadam
  2. Moga ada episod cerita kg Tambisan ini...dan moga diluaskan skopnya hingga ke tanjung trang..@ lampu..rumahapi dibawah kawal selia Jabatan laut...tkasi

    BalasPadam
  3. Wah... tahniah tuan kerana menulis sejarah kg tambisan. Saya sendiri sebagai cicit kandung almarhum sarani sakbani tidak berapa tahu cerita asal usul tambisan. Cuma yang saya tahu kampung tambisan mmg di buka oleh almarhum moyang kami. Saya cadangkan agar sejarah tambisan di tulis atau diabadikan dalam bentuk papan tanda sejarah di dalam kg tambisan.

    BalasPadam
  4. Sejarah ini perlu dikukuhkan lagi dgn bukti2.. kerana banyak bercanggah dgn sejarah sebenar..terima kasih. Anak tambisan

    BalasPadam